Adakah blog masih relevan di tahun 2021?

Dunia blogging ni aku mula babitkan diri sekitar tahun 2007 yang lalu di mana pada awalnya ia bertujuan untuk berkongsikan pengalaman serta pengajaran yang didapati setiap hari kepada kawan-kawan dan keluarga.

Masa tu, belajar jauh di perantauan, semestinya tidaklah setiap hari kita mampu nak kongsi semua perkara kat keluarga kita.

Tapi melalui kaedah blogging, sedikit sebanyak beberapa proses pembangunan diri berlangsung dan memberi kesan yang siginifikan ke atas kehidupan serta kerjaya aku.

Jadi, wujud pula persoalan, dengan kehadiran banyak jenis platform media sosial, adakah blog masih relevan di dekad ketiga kurun ke-21 ni?

Bagi aku, blog ni masih relevan kalau dilihat dari proses pembangunan kemahiran kendiri.

Setelah beberapa lama fokus pada kerja, tiba masa untuk aku lebih banyak menulis pulak! -Foto Hilal Azmi

Apa kemahiran yang diperoleh daripada blogging?

Terdapat beberapa kemahiran signifikan yang aku lihat sangat penting dalam dunia pekerjaan yang boleh didapati menerusi blogging.

#1 Kemahiran bercerita

Dunia telah berubah, cara berkomunikasi juga turut sama menerima kesan hasil daripada perkembangan teknologi yang berlaku.

Manusia kini tidak banyak berkomunikasi secara bersemuka, semuanya akibat wabak COVID-19 yang menyebabkan kita terpaksa berada di rumah serta terasing daripada sahabat dan keluarga.

Jadi, komunikasi manusia kini banyak bergantung harap kepada perantara seperti platform-platform media sosial yang ada.

Justeru, kemahiran bercerita itu amat penting bagi memastikan setiap emosi, butiran kejadian serta maklumat yang ingin disampaikan tepat dan berkesan.

#2 Kemahiran teknikal digital

Untuk berblog, kita memerlukan beberapa kemahiran teknikal serta pengetahuan digital bagi memastikan laman blog yang dibina itu menarik dan mesra pengguna.

Jadi, ada banyak servis yang disediakan untuk membolehkan anda berblog.

Ada sedikit bonus untuk aku, kemahiran teknikal seperti asas web hosting, domain serta pembinaan laman web dapat aku pelajari sepannjang proses berblog selama ini.

Kesannya, apabila berada dalam dunia pekerjaan, aku lebih faham akan keperluan teknikal yang diperlukan untuk sesebuah laman web agar ia mampu menjalankan fungsinya dengan berkesan kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

#3 Kemahiran mendapatkan maklumat yang tepat

Apabila kita berblog, kita akan banyak berkongsikan maklumat berdasarkan pengalaman diri serta sudut pandang diri sendiri.

Pada permulaan zaman berblog dulu, aku banyak berkongsi rasa, pengalaman dan kadang-kadang pandangan sendiri yang mungkin secara tidak sedar menyebabkan orang lain mempunyai persepsi tersendiri ke atas kita.

Apabila beberapa proses serta pengalaman ‘dimarahi’ oleh mak abah mahupun kawan-kawan, wujudlah pemahaman bahawa ‘kuasa’ yang ada pada blog ini juga cukup kuat untuk mempengaruhi orang lain.

Maka dari situ, wujud tanggungjawab untuk kita lebih banyak menulis dengan maklumat serta konteks yang tepat.

Jadi, berbalik kepada persoalan asal, adakah blog masih relevan di tahun 2021?

Jawapan aku ya!

Melalui kaedah berblog, kita akan menikmati banyak proses pembelajaran.

Kalau di bidang pekerjaan ia dinamakan ‘on job training’ belajar di sepanjang proses operasi kerja yang perlu kita penuhi.

Hakikatnya, kehidupan ini juga sama seperti blog.

Buat dahulu dan kita perbaiki setiap kelompongan yang ada setiap masa.

Dari situ, kita akan menjadi lebih baik dan berkembang menjadi individu yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara!

Leave the first comment