Azam tahun baharu: Masa untuk ubah tabiat

Setiap kali bermulanya kalendar baharu, tak kira membabitkan tahun baharu Islam mahupun tahun baharu Masehi, ramai yang akan bercakap tentang ‘azam tahun baharu’ mereka.

Kebanyakan kita acapkali memasang resolusi untuk memastikan diri kita menjadi lebih baik, segak dan kaya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara azam tahun baharu yang sangat popular di seluruh dunia termasuklah; untuk menjadi lebih kurus atau untuk mendapatkan tubuh yang lebih baik, mahu bekerja lebih keras untuk menjadikan pendapatan lebih lumayan dan ada yang mahu berkahwin di tahun baharu!

Ini semua contoh sasaran yang ingin dicapai sebahagian besar daripada kita setiap kali kalendar bertukar tahun.

Kalau bagi orang Islam, inilah ‘hijrah’ yang ingin dilakukan sebagai suntikan semangat agar misi kita tercapai.

Bagi aku, ‘Malaysia Boleh’ masih relevan untuk teruskan momentum semangat kita untuk sentiasa boleh biar apa jua cabaran mendatang – Foto Hilal Azmi

Kenapa azam tahun baharu kerapkali tidak tercapai?

Biasanya, kita gagal mencapai azam tahun baharu disebabkan oleh kegagalan untuk mengubah tabiat harian kita sebagai langkah awal untuk mencapai sesebuah misi.

Kita perlu faham bahawa kejayaan yang ingin dikecapi bukanlah datang dengan perubahan hang dilakukan dalam sehari semata-mata, tetapi ia berlaku hasil daripada perubahan tabiat yang kita amalkan.

Contohnya, kita mensasarkan bentuk badan yang lebih langsing atau bacaan berat badan yang lebih rendah berbanding nilai purata pada tahun sebelumnya.

Misi menurunkan berat badan tidak akan berjaya dengan hanya melakukan senaman atau tidak makan nasi selama seminggu semata-mata.

Bagi mencapai misi ini, tabiat serta gaya hidup kita perlu berubah agar dapat disesuaikan dengan keinginan kita untuk mencapai berat badan yang ideal.

Jadi, perubahan yang ingin dilakukan sewajarnya dimulakan dengan perubahan tabiat secara berkala dengan syarat setiap perubahan ditambah baik setiap hari.

Kita mungkin boleh memulakan misi mendapatkan berat badan ideal dengan hanya mengurangkan pengambilan gula dalam minuman pada minggu pertama.

Kemudian diikuti dengan aktiviti berjalan kaki selama 30 minit setiap hari di minggu seterusnya.

Impak positif perubahan berkala

Perubahan drastik kepada tabiat hidup manusia akan menimbulkan rasa beban kepada diri kita sekaligus mengurangkan motivasi untuk kita terus berusaha.

Jadi, kita perlu ingat bahawa penambah baikan ke atas tabiat yang ingin diubah biarpun hanya satu peratus setiap hari, pastinya akan memberi kesan berpanjangan.

Jangan takut untuk membuat perubahan kecil demi kebaikan diri, kerana perubahan kecil yang konsisten akan membawa kebaikan jangka masa panjang dan sekaligus memudahkan kita mencapai kejayaan yang diingini seperti yanv diazamkan pada awal tahun.

Tak perlu bebankan diri dengan perubahan drastik ke atas tabiat sedia ada, cukup dengan usaha menular tabiat secara perlahan-lahan dengan penuh konsisten.

Sikit-sikit, lama-lama jadi gunung!

Pastinya azam tahun ini akan dapat kita capai dengan jayanya!

Leave the first comment