Memasuki 40 hari Kabinet Kerajaan Perpaduan dibentuk (berasaskan tarikh angkat sumpah jawatan Menteri Kabinet pada 3 Disember 2022), banyak perkara telah berlaku ke atas proses hidup bernegara di Malaysia.
Buat julung kalinya, perjuangan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kini tercapai selepas pergelutan politik selama lebih dua dekad.
Pastinya proses Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlaku pada November 2022 lalu banyak memberikan pengalaman baharu kepada petugas media dalam memastikan laporan yang diberikan bersifat menyeluruh dan mendidik rakyat Malaysia untuk menjadi pengundi yang lengkap dengan maklumat yang diperlukan.

Data Journalism / kewartawanan data
Bagi wartawan, tugas melaporkan kini tidaklah hanya tertakluk kepada platform tradisional semata-mata (meliputi platform surat khabar, televisyen dan radio) tetapi tahap kepenggunaan berita yang kian berubah menjadikan platform digital antara platform tumpuan rakyat Malaysia bagi mengikuti perkembangan terkini berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15.
Justeru itu, hampir semua jenama berita di Malaysia berusaha keras untuk menaikkan keupayaan masing-masing dalam menggunakan pendekatan kewartawanan data untuk berkongsi maklumat terkini keputusan PRU15.
Baru-baru ini Hacks Hackers Kuala Lumpur mengadakan satu program perkongsian “Kopi O talk: Reporting GE15 Results Live” yang diadakan di Google Malaysia, Kuala Lumpur.

Cabaran terbesar media Malaysia dalam melaporkan keputusan PRU15.
Antara perkongsian paling mendapat perhatian ialah berkaitan akses kepada data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terlalu terhad.
Sejak kewartawanan data diamalkan di Malaysia, mana-mana bilik berita terpaksa membuat salinan semula maklumat yang dikongsikan di laman web SPR untuk disesuaikan kepada laman web mereka.
Padahal, ada teknologi data terbuka yang boleh digunakan bagi membolehkan maklumat ini dikumpul dan diproses secara ‘real time’ sekaligus menjadikan pemprosesan maklumat menjadi lebih cekap dan pantas.
Selain itu, jika bilik berita memerlukan data yang lebih terperinci (seperti maklumat saluran mengundi), data tersebut perlu dibeli daripada pihak SPR untuk digunakan.
Jadi, antara hujah penting tentang keperluan akses kepada data pengundi ini adalah:
- Maklumat ini dikumpulkan daripada rakyat
- Maklumat rakyat wajar diklasifikasikan sebagai data awam yang boleh diakses pihak media untuk proses editorial
- Data ini penting bagi membolehkan rakyat lebih faham akan keperluan mereka untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Rata-rata peserta yang hadir setuju dengan hujahan ini memandangkan banyak lagi isu dan perkara yang boleh dilaporkan demi menjadikan proses demokrasi di Malaysia lebih matang dan cekap.
Ini masanya untuk kita bawa Malaysia ke fasa baharu yang lebih demokratik dan efisien.
