Kalau takda pasukan, kita gerak dulu !


 


Saya masih ingat kali pertama berjumpa dengan manusia penuh budi bernama Abdul Aziz Abu Bakar.

Ketika itu musim sejuk baru bermula dan pertemuan di salah sebuah rumah inap di Istanbul menjadi pertemuan bersejarah antara kami berdua.

Salji nipis yang mula turun bagai meraikan pertemuan itu menjadi antara usaha awal Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Malaysia Life Line for Syria untuk membantu pelarian Syria yang hidup dalam krisis sejak 2011 melalui misi Rescue Syria.

Orangnya hitam manis, tetapi murah dengan senyuman.

Baru pertama kali bertemu, pelbagai inspirasi dikongsikan.

“Kalau takda pasukan yang nak kerjasama, kita gerak dulu!” 

Inilah ungkapan yang paling melekat dalam ingatan sejak pertama kali bertemu seorang aktivis kemanusiaan yang sangat merendah diri ini.



Dalam kedinginan musim sejuk yang baru bermula, banyak perkara sempat dikongsikan bersama bapa kepada empat orang anak ini.

Antara yang paling menarik perhatian ialah berkaitan kenapa beliau mahu menjalankan kerja-kerja bantuan kemanusiaan ini?

“Saya mulakan misi kemanusiaan sejak saya bekerja di sebuah syarikat korporat di Seri Kembangan beberapa tahun lalu.

“Ketika itu, saya fikirkan telah tiba masanya rakyat Malaysia melakukan sesuatu untuk membantu saudara Islam kita yang menderita.

“Saya mulakan dengan misi bantuan kepada rakyat Palestin memandangkan isu Palestin-Israel amat  dekat di hati rakyat Malaysia.

“Bagi saya, kita semua mahu membantu, tetapi tiada jalan yang sesuai untuk kita gerakkan, maka saya pun memulakannya melalui Majlis Perundingan Islam Malaysia,” kongsi beliau ketika kami bersama-sama cuba memanaskan badan dalam gelap malam yang dingin.



Jelas beliau, biarpun belum ada pasukan yang cukup ramai untuk digerakkan bagi mengumpulkan dana secukupnya, usaha itu boleh digerakkan dengan sekecil-kecil usaha.

“Senang cakap tak payah tunggu kita bersedia, apa yang penting, mulakan dahulu dari mana kita mampu,” tambahnya lagi sambil menggosok tangan.

Pada 15 Oktober lalu, saya dikejutkan dengan berita pemergian beliau semasa menjalani rutin dialisis di sebuah pusat perubatan di Kajang.



Haji Abdul Aziz dilaporkan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba sebelum dirujuk ke hospital dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pemergian beliau sememangnya amat dirasai bagi komuniti yang menggerakkan misi kemanusiaan.

Banyak orang muda telah menjadikannya inspirasi selepas beliau berjaya menggerakkan usaha membantu umat Islam di seluruh dunia terutamanya dalam krisis kemanusiaan di Palestin dan juga Syria.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr.) Ahmad Sani Araby Al-Kahery, pemergian Haji Abdul Aziz amat memeritkan.



“Saya telah hilang sayap utama dalam misi kemanusiaan.

“Haji Abdul Aziz selalu bagi kepercayaan untuk saya pimpin misi kemanusiaan ini.

“Beliau selalu yakin dan pertahankan idea yang saya cadangkan, kehilangan beliau amat memberikan kesan kepada saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah Haji Abdul Aziz.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Segambut, Kuala Lumpur pada 6:35 petang Selasa.

Beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Negeri Selangor daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri tahun lalu.





Hilal Azmi Syria
October 21, 2019
1

Comments

Post a Comment

Sebarang komen amatlah dihargai.

Search

Popular Posts

Upacara mengejar ayam menggunakan teknologi 'dron'

Kalau dah namanya ayam kampung, memang sukar untuk kita bermesra ataupun mendek…

Sedap Weh meraikan Nasi Lemak melalui Google Malaysia

Nasi Lemak merupakan sejenis makanan yang paling kuat pengaruhnya sebagai ejen …

Pertahankan keamanan yang kita ada!

Kisah kematian dua beranak ketika cuba merentas sempadan Mexico - Amerika Sya…

Pentingnya ambil tahu hal jiran...

Kejadian kehilangan kanak-kanak semakin hari semakin menjadi-jadi. Ia menjadi…

Hebat!