Memahami teknologi kecerdasan buatan (AI)

Teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) amat popular ketika ini.

Ia berpotensi besar dalam mengautomasikan operasi dan kerja yang sifatnya berulang-ulang.

Penggunaan teknologi AI amat penting dalam menyelesaikan kerja-kerja yang kompleks bagi menjimatkan masa dan tenaga manusia.

Memahami teknologi kecerdasan buatan (AI)
Saya mengikuti majlis media bersama Google di Tokyo baru-baru ini.

Apa itu teknologi kecerdasan buatan (AI)?

Memahami teknologi kecerdasan buatan (AI)
Pembelajaran mesin ialah mengajar komputer untuk belajar tanpa memerlukan peraturan pemprograman - Foto Hilal Azmi

Teknologi kecerdasan buatan merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia.

Antara cabang penting dalam AI ialah pembelajaran mesin (machine learning) iaitu keupayaan mesin yang mampu 'belajar' untuk menjadi pintar.

Secara konsepnya, mesin yang bakal ‘diajar’ manusia perlu dilengkapkan dengan maklumat yang banyak untuk menjadikannya lebih pintar berbanding mesin lain.

Dengan kata lain, mesin akan dilengkapkan dengan ribuan percubaan untuk menyelesaikan sesuatu tugas.

Di sepanjang proses ini, mesin tersebut akan memahami dan mempelajari konsep untuk menyelesaikan tugas tersebut.

Sebagai contoh, mesin deposit wang yang banyak digunakan untuk memasukkan wang ke akaun bank sebelum ini hanya mampu mengesan wang pada jumlah tertentu.

Dengan kecanggihan teknologi terkini, mesin tersebut kini boleh mengesan ketulenan wang yang dimasukkan selepas melalui beberapa fasa 'tunjuk ajar' yang dibuat pembangun mesin berkenaan.

Kenapa ia penting untuk kita sekarang?

Pembelajaran mesin sangat penting dalam melengkapkan kehidupan manusia pada zaman moden bagi membolehkan kita untuk terus berdaya saing dalam era ekonomi digital.

Menurut Felo Kanan Google yang mengetuai pasukan Google Ai, Jeff Dean, kecerdasan buatan menjadi alat penting dalam memanfaatkan kehidupan manusia.

"Google memperkenalkan Prinsip AI dalam membentuk piagam bagi membimbing pembangunan dan penggunaan AI dalam penyelidikan dan aplikasi perkhidmatan kami.

"Kami juga aktif melakukan penyelidikan dalam bidang seperti privasi, keselamatan dan keadilan sehingga terbentuknya pembelajaran mesin baharu yang dipanggil pembelajaran bersekutu (federated learning)," katanya dalam ucapan pengenalan sempena Majlis Media Solve with AI yang diadakan di ibu pejabat Google Tokyo baru-baru ini.

Jeff Dean ketika memberi penerangan mengenai teknologi Pembelajaran Mesin - Foto Hilal Azmi


Malah, laporan daripada Harvard Business Review keluaran Julai-Ogos 2019 juga memberitahu bahawa teknologi AI kini banyak membantu perusahaan dan syarikat dalam membuat keputusan.

Ia menjadi penyumbang penting dalam memberi input kepada pembuat keputusan untuk memilih dasar dan pilihan yang tepat ke atas sesuatu isu yang cuba diselesaikan.

Adakah teknologi ini mahal?

Ya, ia merupakan teknologi yang amat mahal satu masa dahulu memandangkan keperluan teknikalnya yang tinggi.

Bayangkan, untuk mewujudkan sebuah mesin atau komputer yang mampu membuat penaakulan dan 'berfikir' seperti manusia semestinya memerlukan pemproses dan memori yang amat besar.

Jadi, untuk memproses data dan menjadikan mesin sebijak manusia, Google telah membangunkan mesin pemprosesan yang dinamakan sebagai unit pemprosesan Tensor atau Tensor Processing Unit (TPU).

TPU berfungsi sebagai litar khusus untuk pembelajaran mesin dalam rangkaian neural.

"Pada tahun 1990-an, TPU yang kita ada hanya mampu memproses sehingga 32 gigaflop sahaja, tetapi kini TPU versi terbaru mampu memperoses sehingga 420 teraflop sesaat," jelas Jeff Dean ketika menerangkan bagaimana teknologi pembelajaran mesin berfungsi.

Daripada litar khusus yang menguruskan 'pemikiran' mesin ini, Google turut memperkenalkan Tensor Flow, sebuah aplikasi sistem terbuka bagi membangunkan teknologi AI.

Melalui aplikasi Tensor Flow, potensi pembangunan teknologi AI kini lebih luas dan ia telah berjaya menjadikan teknologi ini lebih murah tanpa perlu kemahiran pemprograman yang terlalu tinggi.

Paling penting, fahami masalah yang cuba diselesaikan.

Bagaimana teknologi pembelajaran mesin membantu manusia?

Pengaplikasian AI dalam kehidupan manusia kini banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Menerusi Program AI untuk kebaikan sosial, Google telah memfokuskan kepada dua perkara meliputi:

1. Kajian dan kejuruteraan.

Banyak kajian dibuat bagi mengenalpasti bagaimana teknologi pembelajaran mesin boleh membantu memberi impak positif kepada nilai kemanusiaan, kehidupan sosial dan juga isu alam sekitar. Contohnya, proses kenal pasti kanser paru-paru, projek bio akustik, dan juga projek Euphonia (bagi membantu mereka yang mengalami kesukaran berkomunikasi untuk bercakap).

2. Galakan untuk menyelesaikan masalah

Galakan menerusi penggunaan aplikasi sistem terbuka, Tensor Flow serta latihan bagi membantu menyelasaikan masalah sosial dan organisasi. Biasanya ia telah berjaya menyelesaikan beberapa cabaran sosial seperti di bidang pertanian dan juga pemuliharaan dokumen bersejarah.


Teknologi ini masih banyak potensinya, dan ia perlu diteroka sebaiknya agar terus memberi manfaat kepada manusia dan juga hidupan lain di bumi ini.

Memahami teknologi kecerdasan buatan (AI)
Wanita ini memanfaatkan teknologi AI untuk membantunya membaca manuskrip purba Jepun - Foto Hilal Azmi



Artikel Hilal Azmi
July 21, 2019
0

Comments

Hebat!

Search

Popular Posts

Raya yang laju dan menderu....

Sawang yang terkumpul di blog ni semakin membimbangkan.  Terdapat banyak pos…

Upacara mengejar ayam menggunakan teknologi 'dron'

Kalau dah namanya ayam kampung, memang sukar untuk kita bermesra ataupun mendek…

Pentingnya ambil tahu hal jiran...

Kejadian kehilangan kanak-kanak semakin hari semakin menjadi-jadi. Ia menjadi…

Sedap Weh meraikan Nasi Lemak melalui Google Malaysia

Nasi Lemak merupakan sejenis makanan yang paling kuat pengaruhnya sebagai ejen …