Monday, October 22, 2018

Realiti perbualan rakyat Malaysia di tahun 2018

Baru-baru ni kecoh kononnya ada beberapa menteri yang 'memberi amaran' kepada media untuk 'memilih' angle yang bersesuaian dengan keperluan mereka untuk dilaporkan kepada rakyat.

'Amaran' yang dikeluarkan telah mengundang pelbagai perspektif dan menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen. 


GAMBAR HIASAN Oleh: Hilal Azmi

Ada yang tahap membakul sampahkan wartawan serta editor yang bertugas kononnya 'kurang bijak' dalam membuat laporan terutamanya membabitkan karier politik seseorang individu termasuklah seorang menteri.


Memandangkan isu ni semakin meracuni pemikiran masyarakat, maka aku rasa penting untuk kita semua difahamkan dengan realiti yang ada di Malaysia serta berita bagaimana yang menjadi perhatian rakyat Malaysia.



Sebabnya, kita sendiri tahu, sejak ledakan digital yang melanda ekosistem komunikasi di Malaysia, semakin banyak portal serta laman web yang melaporkan berita serta kisah-kisah yang tular di media.

Jadi, jangankan anda sebagai menteri saja yang akan menjadi perhatian media untuk laporan terkini di arus media massa, tetapi sesiapa sahaja boleh jadi 'bahan berita' jika ia benar-benar dapat perhatian si netizen.

Realiti perbualan rakyat Malaysia di tahun 2018

Kalau di zaman 90-an dan sebelumnya, kebanyakan rakyat Malaysia bergantung kepada media arus perdana dalam mendapatkan perkembangan berita terkini dan juga berita yang jadi bualan rakyat.

Malah, ketika itu, biarpun wujud email berantai yang memberi laporan alternatif berhubung sesuatu isu, sumber berita di arus perdana tetap mendapat perhatian dan kepercayaan yang lebih tinggi.

Kini, di tahun 2018, sememangnya kehidupan kita di Malaysia terdedah dengan macam-macam cerita dan berita yang viral dan tular samada di Facebook, Instagram, Telegram mahupun Whatsapp.

Sesiapa sahaja boleh jadi tular selagi mana entry yang dikeluarkan berada di domain public.


Kalau PUBLIC, semua pengguna boleh Share!


Maksudnya kat sini, kalau di Facebook, status yang anda keluarkan tu Public bermakna semua pengguna boleh kongsi status itu untuk tatapan kawan-kawannya.

Selain itu, apa saja isu yang timbul pada ketika ini kebanyakannya bermula daripada penyebaran yang berlaku di media sosial.

Jadi, jangan hairanlah kalau lama kita tak online, tiba-tiba selebriti yang popular di Malaysia dah berubah wajah. 

Sebabnya, trend ketika ini kebanyakan yang popular itu datangnya daripada platform-platform media sosial ni.

Apa terjadi kepada cerita politik di Malaysia di tahun 2018?

Macam-macam boleh terjadi!

Sejak perubahan kerajaan dengan semangat #MalaysiaBaharu yang dicanangkan, landskap politik Malaysia terus berubah.

Perubahan dan dinamika yang ada bagaikan roller coaster setiap hari bergantung kepada isu dan juga ucapan yang dikeluarkan ahli politik tak kiralah yang sedang menjawat jawatan penting kerajaan mahupun yang sudah tidak ada jawatan.

Ada yang kata penyakit meroyan menjadikan suasana politik di media sosial menjadi saaaangaaattttt meriah.

Ada yang kata mabuk kuasa juga menjadikan media arus perdana pun tersangkut dalam kegilaan 'lampu limpah populariti' yang melanda ahli politik Malaysia.

Tidak kurang juga sesi ungkit mengungkit malah apa sahaja yang sempat dirakamkan menjadi bahan penting untuk bualan rakyat Malaysia di media sosial.

Jadi, cerita politik Malaysia tak sunyi malah elemen kebencian sesama parti mahupun individu giat dijalankan demi menjayakan ideologi politik yang dibawa atas nama Malaysia dan rakyat. KATANYAAA!!



Apa perlu dibuat?

Sebagai rakyat, kita sebaiknya belajarlah dengan kejadian perubahan kerajaan yang berlaku sebelum ni.

Mungkin ada antara kita yang fanatik atau suka nak tunjuk dia sokong siapa melalui akaun peribadi media sosial masing-masing.

Malah, tak kurang juga yang menerima cemuhan, tohmahan malah cacian hebat akibat pendapat yang disuarakan menerusi ruangan komen di mana-mana page ataupun akaun media sosial berhubung apa-apa isu.

Bila dah tertukar kerajaan, maka ada yang kelam kabut nak padam status la, nak ubah profile picture la, banjirkan dengan status sokong kerajaan yang memerintah la... Dan macam-macam lagi.

Jadi, senang cakapnya, kita harus sedar bahawa setiap perlakuan, pendapat serta perkongsian kita di media sosial (termasuklah di zaman prasejarah dahulu ketika kita kencing bercabang masih muda), akan dijadikan 'bahan' oleh individu tertentu untuk menjatuhkan mahupun memalukan kita.

Maka, yang terbaik untuk kita cakap, kongsi mahupun kemaskini, sebaiknya perkara yang menyeronokkan.

Tapi, kalau anda seorang yang ada pengikut maha ramai, silalah berhati-hati dengan setiap butir perkataan anda!

Ibaratnya, kalau dah terkencing, takkan la kita nak sedut balik kencing tu masuk kemaluan kita.. Kan?

Senang cakap, apa saja boleh jadi bahan berita sebab pusingan dunia pada ketika ini ialah setiap bahan yang jadi perkongsian di media sosial mungkin akan menjadi bahan berita di media arus perdana.

Kalau ceritanya cakap pasal stokin, maka itulah yang akan mendapat statistik pembaca paling tinggi di carta cerita setiap portal berita.

Sebarang komen amatlah dihargai.