Friday, October 12, 2018

Realiti hidup seorang wartawan di Malaysia

Ketika ini, segala jenis komunikasi yang kita bualkan perlu melalui platform digital.

Bayangkan, anak dalam rumah pun kadang-kadang berkomunikasi dengan mak ayah dengan hanya menggunakan aplikasi Whatsapp!

Tidak kurang dengan itu, setiap kali berlakunya kejadian seperti bencana atau kemalangan jalan raya, ramai saja yang mula memperlahankan kenderaan dengan alasan mahu merakamkan detik berkenaan hanya untuk tujuan berkongsi dengan rakan dan keluarga menerusi group Whatsapp ataupun di akaun media sosial sendiri.

Semua pakat nak jadi wartawan sampai tahap kerjaya sebagai seorang wartawan menjadi lebih 'mudah' kerana berita ada di mana-mana dan mudah untuk mendapatkan bahan!

"Tengok saja di Facebook, Twitter atau Instagram!" kata salah seorang kenalan apabila saya memperkenalkan diri sebagai seorang wartawan.

Itu semua persepsi yang terwujud hasil daripada perkembangan teknologi pada dekad ini.

Semuanya disebabkan wujudkan kumpulan manusia yang menggelarkan diri mereka sebagai wartawan rakyat!

Dari sudut positif, ia amat baik dalam menggerakkan komunikasi serta pengurusan krisis di mana-mana kawasan sebab segala maklumat terkini boleh didapati dengan mudah dan cepat!

Tapi, aku suka untuk kongsikan realiti hidup sebagai seorang wartawan di Malaysia!

Ketika ini aku perlu membuat laporan langsung dari lokasi menggunakan teknologi iPhone - Foto Hilal Azmi


Bukan apa, ia sebagai persediaan minda kepada adik-adik yang mula menetapkan cita-cita sebagai seorang wartawan:


  1. Wartawan di Malaysia tidak akan menjadikan anda kaya!
    Sebabnya kebanyakan wartawan dibayar dengan bayaran dengan agak minimal iaitu sekitar RM1800 sebagai permulaan bagi wartawan yang ada kelulusan ijazah sarjana.

    Kalaupun ditambah kerja sebagai pembaca berita, mungkin elaun tambahan sekitar 50% daripada gaji anda mungkin bertambah.

    Tetapi, di tahun 2018 ni, semua agensi berita nak berjimat cermat. Biasanya semua kerja dipakejkan dalam satu jenis skim gaji. #teoq
  2. Kerja wartawan ni bukanlah ruang untuk jadi famous  atau glamour!
    Orang ramai hanya akan baca atau tengok berita jika sesuatu kejadian tu betul-betul ada kaitan dengan diri mereka sahaja. Kalau tak, mereka hanya baca sekali imbas tanpa memperincikan siapa penulis atau wartawan yang sediakan laporan berkenaan.

    Kemungkinan untuk dikecam dan dihina lebih tinggi berbanding dipuji...
  3. Kerja lebih masa itu BIASA!
    Wartawan akan sentiasa dikerah melakukan tugas tanpa mengira masa dan lokasi. Biarpun kita akan dijadualkan dengan waktu kerja tertentu (biasanya kerja shift), tetapi, selagi bahan yang dikumpulkan belum cukup untuk melengkapkan berita, maka selagi itulah kita kena siapkan.
  4. Patuhi kemahuan boss!
    Sebagai wartawan, kehidupan biasanya akan terumbang-ambing dek kemahuan boss (biasanya editor yang bertugas / pihak pengurusan syarikat) yang maha tinggi.

    Kadang-kadang, kemahuan mereka kita rasakan amat hebat sehingga sesuatu yang mustahil dimahukan dalam masa yang singkat serta kos sifar!

    Mahu tidak mahu, kamu kena patuhi permintaaannya jika mahu teruskan kerjaya sebagai wartawan.
  5. Beauty mode ON!
    Sebagai orang yang kerja untuk syarikat TV, kita perlu sentiasa bersedia untuk ke udara atau on air pada bila-bila masa dan pada apa-apa situasi.

    Senang cakap, kena sentiasa cantik dan presentable sepanjang masa atau mampu bersiap dalam masa yang singkat untuk memberikan laporan secara langsung samada secara audio visual mahupun audio semata-mata.
Aku rasa ada lagi..... bersambung nanti la.....



Sebarang komen amatlah dihargai.