Thursday, December 14, 2017

"Saya dah meringkuk dalam penjara pun!" - Gelandangan

Gelandangan di Kuala Lumpur - Foto HIASAN / Astro AWANI
“Hidup di bandar besar ini bukan mudah bang, banyak rencahnya,”ujar lelaki lewat 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Malik.
Malik telah mendirikan rumah tangga bersama pasangannya yang turut mahu dikenali hanya sebagai Rina pada 2009.
Hasil perkahwinannya itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, seorang perempuan berusia 6 tahun dan seorang bayi lelaki berusia 1 tahun 8 bulan.
“Menjadi gelandangan bukan pilihan saya bang.” Sapanya kepada penulis ketika soalan diajukan tentang mengapa memilih menjadi gelandangan.
Menurut Malik pada tahun pertama perkahwinan mereka tidak mengahdapi masalah untuk menyewa rumah dan bekerja namun segalanya bagai menjadi punca untuk menjadi gelandangan selepas itu sekitar tahun 2010.
“Saya tidak lagi dibenarkan bekerja pada tahun tersebut oleh majikan selepas beberapa tahun bekerja.
“Semuanya berpunca apabila mereka mendapat tahu bahawa adalah seorang bekas penjenayah,”katanya dalam nada sesal.
Jelasnya lagi, dia pernah bersekolah di Sekolah Henry Gurney di Melaka kerana melakukan kesalahan jenayah pada usia 18 tahun.
“Apa jenayah yang Malik buat masa itu?” Tanya penulis.
“Saya pecah rumah orang bang.
“Saya buat secara berkumpulan dan bersenjatakan parang.”jelasnya.
Malik berkata tiada sebarang kecederaan atau yang maut akibat perbutan jenayahnya itu namun dia telah dijatuhkan hukuman penjara 8 tahun dan sabit kesalahan merompak bersenjata.
“Saya dah bayar kesalahan saya itu bang dengan meringkuk dalam penjara.
“Tapi saya tidak lagi buat jenayah itu lagi atau ambil sebarang dadah terlarang sampai saya perlu diberhentikan kerja macam itu sahaja.”tegasnya yang seolah-olah kesal dipinggirkan masyarakat yang tahu mengenai latar belakangnya.
Menurut Malik dia hanya menjalankan kehidupan biasa seharian dengan bekerja separuh masa mengangkat barang dengan syarikat pengantaran dan pemindahan barangan pejabat di Jalan Chow Kit.
Upah yang diterimanya hanyalah sekitar RM30 hingga RM45 sehari yang adakala dia diperlukan membuat kerja lebih masa hingga 15 jam namun bayaran lebih masa tidak diberikan.
“Tapi itulah duit yang saya gunakan untuk menyara kehidupan kami.
“Dengan duit itulah saya bayar sewa RM25 sehari dan selebihnya buat beli susu anak dan buat simpanan,”keluhnya.
Katanya adakala, dia tidak dipanggil untuk bekerja kerana telah diisi individu gelandangan lain dan dia terpaksa bertahan sementara menanti peluang kerja separuh masa lain.
“Sebab itulah saya, isteri dan anak-anak duduk di kaki lima dan mengharapkan bantuan makanan dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Kadang-kadang bila saya tidak mampu membayar sewa bilik, kami akan tidur di kaki lima Jalan Chow Kit ini dan NGO lah yang bantu bagi pakaian.”Jelasnya dalam nada begitu sebak.
Tambahnya itulah yang dilakukannya sejak 2010 hingga kini kerana isterinya tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil.
“Lagi satu sebab isteri saya adalah ‘mualaf’ bang dan dia pula tiada sijil kalau boleh bekerja pun.”tambahnya.
“Apa salah saya bang sampai saya kena dihukum sebegini?.”Tanyanya kepada penulis.
“Malik ada cuba pergi ke pusat bantuan lain?” Tanya penulis.
“Saya dah cuba bang tapi duit bantuan itu tidak mencukupi untuk saya menyara keluarga saya.”keluhnya.
Menurut Malik beliau hanya mengharapkan bantuan dari NGO dan individu yang kadang-kadang bertemu dengannya yang berada di kaki lima.
Ada juga yang menawarkan pekerjaan namun ditolak mentah-mentah Malik kerana tahu dia akan kehilangan pekerjaan apabila majikan baru mengetahui  mengenai latar belakangnya.
“Pernah cuba pergi ke Pusat Transit Gelandangan (PTG) ke?” Tanya penulis
“Saya pernah berniat untuk ke sana tapi saya tidak fikir mereka akan terima saya dan keluarga saya.
“Sebab ramai kawan gelandangan saya yang pergi ke sana semuanya tidak berkeluarga,”jelasnya.
Mengenai cerita rakan gelandangannya yang pernah mendiami PTG, dia berkata ramai juga antara yang masuk dan tidak lama kemudian berada semula di jalanan.
“Ada seorang gelandangan itu, dia pergi dalam 2 minggu dan kami jumpa dia semula di kaki lima ini.
“Tapi saya tidak tanya mengapa,”katanya.
Jelas Malik dia risau tentang masa depan anaknya yang sepatutnya telah didaftarkan untuk kemasukan sesi persekolahan 2018 namun tidak dapat berbuat demikian kerana buntu dengan situasi semasa kehidupan keluarganya.
“Saya tidak tahu bang sampai bila saya perlu berada dalam keadaan macam ini.
“Saya buntu,” keluhnya.
Selain NGO yang kerap melakukan kerja-kerja amal bantuan makanan dan pakaian, Malik berkata terdapat juga kehadiran beberapa agensi kerajaan yang cuba membantunya dan rakan gelandangan lain namun acapkali juga ditolak gelandangan.
“mereka ada datang kata hendak bantu dan kemudian bawa kami ke PTG dan bantu kami untuk mendapatkan pekerjaan.
“Tapi saya sendiri tidak pasti bang apa yang saya mahukan sekarang sebab sudah 8 tahun saya hidup macam ini.”jelasnya kepada penulis sambil cuba mendiamkan anak kecilnya yang menangis di pangkuannya.
Mengakhiri perbualan, Malik berkata dia mahu kehidupan yang lebih baik tetapi dia seakan keliru dengan latar belakangnya, adakah ada di luar sana yang mahu menghulurkan bantuan tanpa melihat kisah silamnya.

Sebarang komen amatlah dihargai.