Sunday, August 27, 2017

Sorakan, semangat dan Malaysia Maju!



Semalam menjadi hari bersejarah buat aku selepas lebih 15 tahun tidak melangkah ke stadium bola sepak untuk memberi sokongan kepada pasukan negara yang menentang Indonesia dalam usaha merebut 'ibu segala pingat' dalam Sukan Sea 2017.

Di sepanjang perjalanan ke Stadium Shah Alam aura semangat penyokong negara mula dirasai ketika melalui Lebuhraya Persekutuan apabila ramai mat motor yang kelihatan berpusu-pusu dengan jersi kuning Malaysia serta Jalur Gemilang dibawa dengan penuh megah sepanjang jalan.

Setibanya di perkarangan Stadium Shah Alam, keadaan semakin meriah apabila semua yang ada di sana mula bersorak dan ada juga yang tercari-cari kawan mereka untuk mendapatkan tiket dan masuk ke stadium.

Kami masuk stadium sekitar jam 7:30 malam selepas maghrib dan kelihatan pasukan sorak negara, Ultras Malaya sedia mengambil tempat di bahagian tengah stadium dengan pakaian serba hitam mereka.

Penyokong Indonesia pula, ada sekitar 5,000 semuanya di sebahagian kecil Stadium Shah Alam turut memulakan sorakan sebagai perang psikologi buat penyokong Malaysia.

Sorakan dari Malaysia semuanya digerakkan oleh Ultras yang begitu tersusun gaya dan rentak yang digunakan.

Kewujudan pasukan ultras ni macam pemain gitar dalam filem Mad Max yang berfungsi memalu genderang perang bagi membangkitkan semangat pasukan yang bertanding.

Bagi aku, perlawanan semalam sememangnya bergantung harap kepada pemain ke 12 negara, iaitu penyokong.

Syukurlah semuanya masih optimis biarpun di minit ke 87 baru ledakan gol berlaku yang sangat melegakan penyokong yang datang dari serata negara.

Tak dinafikan aku sendiri sangat bersemangat dengan sorakan yang ada.

Terlintas di hati, kalau benarlah semangat ini dialirkan untuk sama-sama berusaha menjadikan negara kita maju dan hebat di persada dunia.

Mesti kita lebih power dari negara maju lain!

1 comments :

sharing yang sangat mantap dan terbaik

Sebarang komen amatlah dihargai.