Saturday, June 3, 2017

Pengalaman di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Kata kunci Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, UPNM selama ini hanya mendapat perhatian dalam kalangan pelajar yang meminati bidang pertahanan semata-mata.

Lain ceritanya apabila kisah kematian salah seorang penuntut di sana yang juga seorang Pegawai Kadet Laut UPNM bernama Zulfarhan Osman bin Zulkarnain yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera rakan.

Kalau melihat kepada Google Trend pun, kata kunci 'UPNM' ni memang mercik menjadi perhatian ramai yang cuba mendapatkan berita serta maklumat berkaitan kejadian ini.



Semestinya kejadian ini turut mendapat perhatian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memang dikenali sebagai KONSISTEN bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah dalam kejadian seperti ini. 



Jadi, aku terpanggil untuk berkongsi kisah pengalaman aku menghadapi situasi di UPNM yang ditubuhkan demi memartabatkan golongan askar serta meningkatkan mutu serta kajian berkaitan pertahanan untuk negara ini.

NOTA PENTING!
**Semua perkongsian ini adalah kisah yang memang aku dengar dengan telinga aku sendiri dan berdasarkan pengalaman bertemu beberapa pelajar UPNM sepanjang 3 tahun.

Apa terjadi kepada pelajar di TAHUN PERTAMA di UPNM?

Biasanya mereka akan dimulakan dengan sesi orientasi (yang memang akan dilalui mana-mana mahasiswa/mahasiswi di kebanyakan universiti di dunia).

Kemasukan di sini adalah terhad dan ada antara penuntut di sini perlu melalui proses temuduga sebelum diterima sebagai penuntut UPNM.

Rata-rata penuntut di UPNM ialah Pegawai Kadet yang wajib melalui proses latihan ketenteraan ketika di luar waktu kuliah.

Jadi, bagi penuntut lain yang turut belajar di situ (mereka ini dipanggil sebagai 'orang awam' atau 'awam') wajib menjalani latihan sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang biasanya perlu melalui jam latihan ketenteraan ketika hujung minggu.

Oleh yang demikian, jadual harian mereka lalui amat padat.

Bayangkan sendiri kehidupan sebagai mahasiswa dan pada masa sama menjalani latihan ketenteraan.

Kerap kali ketika bertemu penuntut tahun pertama di UPNM, mereka seolah terlalu letih, sentiasa baran malah ada juga yang hidup dalam ketakutan.

Terlalu letih tu, kita faham sebab nak lalui kehidupan dua alam yang memang normal sebagai anak muda harapan negara.

Baran tu pula (biasa berlaku kepada penuntut lelaki), kadang-kadang ia di luar kemarahan yang biasa dialami penuntut tu sepanjang 18 tahun kehidupan sebelum ni.

Hidup dalam ketakutan pula berlaku bila kita dah outing bersama penuntut, bila waktu hantar ke kampus UPNM, kereta hanya boleh akses setakat pintu masuk depan saja.

Bila kita cuba masuk sampai ke depan hostel, penuntut tadi akan merayu untuk tidak dihantar ke sana agar tidak 'dipanggil' senior di malam hari.

Okay! Ini semua situasi yang berlaku kepada penuntut-penuntut yang aku jumpa.

Senang cakap, kebanyakan penuntut UPNM yang tak tahan dengan latihan ketenteraan di sini biasanya macam nak keluar dari UPNM serta-merta.

Apa berlaku apabila penuntut UPNM sakit dan memerlukan rawatan di hospital?

Bahagian ini paling 'best' dalam sejarah hidup aku.

Kisahnya apabila salah seorang penuntut (yakni adik aku) mengalami kecemasan dan terpaksa dihantar ke HUKM untuk rawatan lanjut.

Ketika itu penuntut terbabit terpaksa pergi sendiri ke HUKM (dengan bantuan dua orang rakan bilik) menaiki kereta sewa.

Aku mendapat panggilan jam 6 pagi mengatakan dia sedang berada di bahagian kecemasan untuk rawatan akibat kencing berdarah yang menyebabkan dia sakit yang teramat sangat sampai tak boleh nak berjalan.

"Abang, adik kat HUKM ni, sakit sangat tak boleh nak jalan," mesej ringkas adik aku.

Aku tiba kira-kira jam 8 di HUKM (, dan aku pun pi jumpa adik aku untuk dapatkan maklumat tentang perkembangan terkini kejadiannya selepas menyelesaikan urusan rumah tangga dan kesesakan Jalan Cheras.

Sungguh aku terkejut, pegawai perubatan yang ada kat situ beritahu rawatan susulan tak dapat dilakukan sebab TIADA DEPOSIT DIBAYAR.

"Bukankah dia pelajar UPNM? Tak boleh ka dia dapat rawatan dulu? Lagipun dia dah tunjuk kad matriks dia kan?" tanya aku.

"Ya memang, tapi untuk UPNM kami perlu dapatkan Guarantee Letter (GL) baru kami boleh teruskan rawatan," beritahu pegawai perubatan berkenaan.

Cuba menenangkan diri, aku pun terus bertanya kepada kawan sebilik penuntut tadi, samada felo mereka ambil maklum atau tidak berkaitan hal ini?

"Kami dah Whatsapp dia dan beritahu, dia cakap suruh kami pi dulu HUKM," jawab Kak Pah yang juga kawan baik penuntut tadi.

Kak Pah ni merupakan salah seorang penuntut UPNM yang memang aktif dengan aktiviti kampus dan agak 'pakar' dalam hal SOP di UPNM.

"So, ni dah kawan tak dapat masuk dapat rawatan, Kak Pah ada telefon felo? Mintak dia keluarkan GL?", tanya aku.

"Jap saya call!" katanya sambil mula muncung mencari contact felo berkenaan.

"Abang, felo cakap kena tunggu HEP keluar GL tu, baru kita boleh dapat," jawab Kak Pah dengan nada bergetar.

"Laaa habis tu? Dah keluar surat, kita nak kena pi ambik? Lepas tu datang sini balik baru kawan hang dapat treatment ka?" tanya aku.

"Ha... Macam tu la felo tu bagitau," jelas Kak Pah.

Bagi aku ketika itu, rawatan perlu diteruskan dulu untuk penuntut tadi, jadi deposit RM200 aku bayar dulu bagi membolehkan pegawai perubatan meneruskan rawatan susulan termasuk memasukkan penuntut berkenaan ke wad.

Selepas selesai, aku pun memulakan urusan untuk PERCUBAAN MENDAPATKAN GL DARI HEP UPNM!

Dimudahkan cerita, aku cuba dapatkan nombor telefon felo yang bertanggungjawab untuk memudahkan urusan ini (selepas aku kurang sabar untuk menunggu Kak Pah tolong contact felo berkenaan).

Aku difahamkan felo tersebut ialah pelajar Master di sana.

"Salam Cik Felo (malas nak sebut nama), adik saya ni masuk HUKM akibat sakit sekian sekian dan kami perlukan GL untuk tujuan tu. Boleh saya tau macam mana nak buat?" aku bertanya.

"Oh! tentang tu, encik kena contact Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kami sebab diorang yang keluarkan surat," jawab Cik Felo ringkas.

"Ok, tapi macam mana saya nak contact orang HEP tu? Atau Cik Felo boleh tolong saya memandangkan ni penuntut di bawah bidang tugas Cik Felo kan?"aku tanya lagi.

"Iya, tetapi bab surat menyurat kena tanya HEP jugak. Takpa japgi saya Whatsapp nombor telefon individu berkenaan," jawab Cik Felo.

Maka aku pun diberi satu nombor telefon Encik HEP untuk berurusan mendapatkan GL untuk penuntut yang masuk HUKM tadi.

"Hello Encik HEP, saya abang kepada penuntut UPNM, dia sakit sekian sekian, dan saya perlukan GL untuk bolehkan dia dapatkan rawatan.

"Tadi saya dah telefon Cik Felo, dia bagi nombor Encik HEP untuk saya berurusan," tanya aku dalam perbualan telefon. Jam ketika itu sudah menunjukkan jam 12:30 tengahari.

"Ok, encik bagi saya nama penuh beliau dan nombor kad pengenalan serta nombor matrik, saya akan siapkan GL untuk dia, nanti encik datang ambil," jelas Encik HEP.

Jawapan itu membuatkan aku kehairanan yang maha dahsyat. Penuntut sakit, pergi hospital sendiri.

Kemudian, GL hanya boleh disiapkan selepas dipohon waris penuntut.

Dah tu GL kena pegi ambil di Pejabat HEP oleh waris / wakil / kawan-kawan pesakit tadi sebelum dihantar ke HUKM untuk proses lanjut.

"WOW!!!!!! AMAZING!" aku berbisik dalam hati.

"Tapi, Encik HEP, adik saya ni dah sakit dan masuk di bahagian kecemasan sejak awal pagi tadi jam 6 pagi.

"Saya ni pun pelik la juga, takkan takda Majlis Perwakilan Pelajar ka, atau felo yang boleh membantu penuntut UPNM yang dalam kecemasan.

"Boleh ka pihak UPNM tolong fakskan GL ke HUKM untuk mudahkan proses ni?

"Saya kat sini risau sebab adik saya dah tak boleh berjalan dah," aku cuba memujuk.

"Nak faks tu boleh, tapi ambil masa sikit, paling mudah ialah minta sesiapa kawan dia ka untuk tolong ambilkan GL ni dari saya di pejabat," kata Encik HEP.

"Ok... Nanti saya pergi ambil," jawab aku.

Senang cakap urusan rawatan penuntut tadi berjaya diselesaikan kira-kira jam 3 petang selepas terpaksa 'bergasak' dengan beberapa SOP yang perlu aku ikuti dengan penuh disiplin.

Alhamdulillah, semuanya diselesaikan.

Persoalan penting di sebalik kejadian ni ialah:

  1. Di mana tugas felo di hostel penuntut? Adakah mereka menikmati faedah seorang felo hanya untuk duduk diam-diam dan sebarang kejadian terus 'dilepaskan' ke pihak HEP?
  2. Tak ada ka badan kepimpinan dalam kalangan penuntut yang sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk kepentingan penuntut?
  3. Di sepanjang pengalaman untuk urusan hospital, rata-rata pihak pengurusan / staff UPNM seolah tiada sense of huamnity dalam berusaha menyelesaikan hal penuntut dalam kecemasan. Adakah hal kesihatan / kecemasan memang tidak dipraktikkan dalam latihan ketenteraan?

Notakaki:
Nak masuk melawat atau sampai ke UPNM, pelawat dikehendaki mendaftarkan diri di pintu masuk Kem Sungai Besi dan perlu meninggalkan kad pengenalan mereka di sana.

Sesudah masuk, tiba saja di pintu gerbang UPNM, pelawat diminta untuk memperkenalkan diri dan perincikan urusan apa yang perlu dibuat di sana.

Kalau setakat melawat adik / saudara mara di sana, maka penuntut itu diminta untuk datang ke pintu gerbang berjumpa dengan pelawat tadi.

Kena faham bahawa ini prosedur biasa bila berurusan dengan kem askar. ;)



Kalau ada pengalaman juga, kongsikan kat aku...
Kalau nak komen pun, pastikan beradab. TQ!

5 comments

Segala apa yang ditulis adalah benar.

-Pelajar UPNM

Disebabkan pentadbiran universiti yang tidak cekap, yang disebabkan oleh naib canselor, Jeneral Tan Sri Zulkifli, pelbagai perkara sebegini berlaku dan prestasi akademik UPNM juga menjadi sangat teruk.

Gejala ragging dan buli berlaku saban hari sejak beberapa tahun dan semakin berleluasa sehingga hari ini. Tiada sesiapa yang berani mengadu masalah ini disebabkan pelajar diugut dan ditakutkan dan walaupun tindakan diambil terhadap si pembuli, hal ini tidak dapat menyelesakan masalah.

Maaf, nak tanya, kenapa adik encik tak dibawa ke PPAT dulu?

Betul tu.. prosedur UPNM memang leceh.. Mereka juga tegas dengan SOP diorang sampai nak tolak-ansur pon susah.. kasihan jugak dengan mereka yang sedang dalam kecemasan dan nak cepat.. tapi itulah;sebagai pelajar,bersabar je la yang mampu dilakukan untuk teruskan hidup di UPNM ni.. but still, its a good univesity ..

Sebarang komen amatlah dihargai.