Tuesday, October 27, 2015

Sebelum wartawan penyiaran - Bahagian 1

Sedar tak sedar, aku dah berada di tahun ketiga dalam dunia penyiaran yang mana aku tak pernah mimpi untuk berada di sini satu masa dulu.

Banyak perkara yang aku hadapi sepanjang laluan sebelum menjadi seorang wartawan penyiaran seperti sekarang.

Malah, kini aku sedar bahawa dalam kebanyakan laluan hidup yang merentasi kehidupan aku, sedikit sebanyak ia telah mengajar aku untuk terus bertugas dengan penuh dedikasi dalam industri yang penuh mencabar ini.

Biar aku mula dengan proses awal pasca graduasi daripada jurusan Sains Sekitaran. Seusai majlis konvokesyen, tekanan mula dirasai apabila beberapa rakan sekelas mula mendapat tempat di beberapa syarikat berkaitan alam sekitar dengan jawatan yang menarik bunyinya.

"Aiyoooo depa semua pakat dah dapat keja... Aku ni macam mana?" Bisik aku kepada diri sambil berjalan-jalan di sekitar daerah Kundasang bersama mak dan abah.

Lantas aku memulakan tekad dengan menggunakan apa saja kaedah bagi memastikan aku 'dapat keja' tanpa memikirkan jenis lulusan yang sesuai dengan aku.

Waktu tu, penggunaan media sosial tak begitu meluas tetapi aku antara yang agak aktif berhubung dengan kenalan dan kawan-kawan menerusi platform tersebut.

"Babe! Hang nak dak gheja kat KL? Under Telekom." Mesej seorang kawan (aku namakan dia sebagai Zoey) yang aku kenal dalam salah satu event mahasiswa di Perlis.

"Gheja apa weh? Boleh jugak aku try. Skarang ni mana nak dapat keja kalo takdak pengalaman," balas aku pada Zoey.

"Ok... Nanti sekian-sekian haribulan, hang mai KL, kita p interview sama-sama ok!" Jawab Zoey.

Di situ bermulalah kisah perantauan aku ke Kuala Lumpur untuk tujuan mencari pengalaman kerja (yang aku belum tau keja apa, mahupun jenis kemahiran yang diperlukan untuk kerja terbabit) dengan harapan dapat gaji yang setimpal dengan kelulusan aku.

Nak dipendekkan cerita, aku diterima untuk kerja sebagai tukang jawab telefon dan tukang tolong orang betulkan konfigurasi internet bagi mereka yang mempunyai masalah konfigurasi internet di rumah mereka.

Daripada kerja ini beberapa kemahiran aku mulai kesan bahawa secara semulajadi, aku mampu menjadi pendengar makian tanpa rasa marah.

Malah, aku mampu berimaginasi tentang kedudukan situasi seseorang sambil membantu mereka menyelesaikan masalah dengan hanya mendengar dan bercakap.

Di samping itu, dalam kerja tersebut aku turut mampu menjadi pelayan yang baik dengan suara berkredibiliti biarpun pada ketika itu, rupa bentuk aku secara visual tidaklah sekacak suara yang dilontarkan.



Malang sekali, aku tak lama dalam industri 'tahan maki' ini memandangkan ada antara kehendak aku tidak ditepati pada saat itu.

Maka aku 'resign' selepas saja tamat kontrak 6 bulan dengan syarikat terbabit.

Kisah bersambung........

Sebarang komen amatlah dihargai.