Pengalaman bersama Malim Gunung Kinabalu

Sekitar Oktober 2009 lalu peluang untuk mendaki Gunung Kinabalu dibuka oleh Prof Madya Dr Piakong Mohd Tuah, Pensyarah Ekologi dan Mikrobiologi UMS kepada beberapa pelajarnya termasuk aku.

Aku, Amir, Afiq, Zaida dan beberapa rakan lain ikut sama dengan Dr Piakong untuk menikmati keindahan alam di Taman Negara Kinabalu.

Jalan untuk mendaki Gunung Kinabalu ni ada dua, pertamanya mengikut Pintu Timpohon, dan keduanya mengikut jalan yang sedikit jauh iaitu melalui Mesilau.

Kami ambil keputusan waktu tu untuk ikut jalan Mesilau (jaraknya ke puncak sekitar 8km pendakian) dan turun melalui jalan Timpohon (yang jaraknya sekitar 6 km). Kami memulakan pendakian sekitar jam 10 pagi.

Perjalanan mendaki memang memerlukan semangat serta jiwa yang kental memandangkan cabaran terbesar pendakian Gunung Kinabalu ni ialah kekuatan mental.

Afiq menjadi buddy aku dalam pendakian ketika itu dan kami dikendalikan oleh Malim Gunung yang dikenali sebagai Abang Din.

Sepanjang pendakian, kami sama-sama berkongsi pengalaman di samping menikmati keindahan alam serta kepelbagaian tumbuhan di sepanjang perjalanan pendakian.

Abang Din yang berjaket Pink..


Abang Din yang menjadi Malim Gunung kami tu rupanya seorang pelajar tahfiz yang berasal dari Mesilau. Seorang yang rendah diri, kulitnya mulus, dan matanya sepet.

Perjalanan kami sepanjang pendakian diiringi dengan nilai spiritual yang amat menginsafkan.

Ingat lagi aku pada pesan Abang Din, "nak daki Gunung ni, kamu kena ingat bahawa semua yang kamu akan nampak di sini, tanda keagungan Tuhan. Kamu harus sentiasa ucap syukur dengan nikmat serta peluang ini".

Ketika kami tiba kira-kira 2 kilometer dari Laban Rata (base camp yang membolehkan pendaki berehat dan makan sementara menyambung pendakian ke puncak), Abang Din menunjukkan kami satu kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan yang batangnya sederhana besar tetapi tingginya hanya sekitar 1.5 meter saja.

"Tinguk pokok tu, pindik-pindik saja.. Sama macam urang Sabah.. Pindik-pindik tagap (pendek-pendek, tegap). Pokok di sini sudah ratusan tahun umurnya. Tetapi tetap teguh berdiri di sini" kata Abang Din sambil tersenyum bangga.

"Ingat ya, kalaupun kamu ada di kedudukan yang tinggi, janganlah kamu menyombong diri. Ada sebabnya Tuhan letak kamu di tempat tinggi" pesan Abang Din Pada kami.

Sesampainya di Laban Rata, sekitar jam 4:30 petang, aku tanpa tunggu terus duduk dan menikmati air terjun betul-betul di celah gaung gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu.

"Berehatlah kamu, nanti jam 2 kita jumpa di sini untuk sambung ke puncak" pesan Abang Din.

Sambil menikmati secangkir kopi o, aku, Afiq, Dr Piakong dan beberapa rakan lain duduk bersembang sambil menikmati pemandangan indah waktu petang di Laban Rata.

Menariknya di kedudukan yang tinggi tu, liputan talian Celcom berada dalam keadaan "full bar" siap 3G lagi.

Apa lagi, dengan penuh excited, aku pon membuat panggilan video dengan abah untuk buktikan aku dah sampai di Gunung Kinabalu.

Masuk saja waktu Maghrib, kami solat dan kemudian berehat dengan cuaca sejuk sekitar 18 darjah Celcius.

Sekitar jam 1:30 pagi, kami dikejutkan untuk bersiap bagi meneruskan perjalanan ke puncak gunung bagi mendapatkan pengalaman matahari terbit di puncak Gunung Kinabalu.

Beberapa beg yang agak besar ditinggalkan dan hanya yang perlu seperti botol air, coklat, sarung tangan, dan juga lampu suluh dibawa untuk menyambung pendakian.

Ketika itu cuaca amat sejuk dengan mulut berasap.

Abang Din memulakan sesi dengan mengajak kami untuk terus bersyukur dan memulakan sesi dengan bacaan Bismillah.

Perjalanan 500 meter pertama dipenuhi dengan tangga buatan dan kemudiannya pendakian berdasarkan tali yang siap dipasang di kawasan pergunungan tersebut.

Cuaca yang gelap menjadikan kami amat berjaga-jaga dengan setiap langkah yang diambil.

Abang Din mengiringi perjalanan kami dan sentiasa memberi pesan agar kami sentiasa berhati-hati. Biarpun dia sentiasa senyum ketika berpesan kepada kami, tetapi daripada riak wajahnya, dia serius dalam aspek keselamatan pendaki.

Kira-kira jam 5:30 pagi kami berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu dan di situlah rasa nikmat berada di puncak memenuhi jiwa dan raga aku.

Ada terlintas di fikiran ketika itu, alangkah indahnya bumi ini, ada yang tinggi, ada yang lebih tinggi daripada awan, tetapi kita tetap berpijak di bumi.

Sejuk sungguh waktu sampai puncak ni..
Dari Kiri, Amir, Aku, Afiq...

Dan selepas kejadian gegaran di Sabah Jumaat lalu, aku pon tersedar bahawa kita jangan memberi tekanan kepada mana-mana makhluk. Sebarang bentuk tekanan akan menyebabkan makhluk terbabit tertekan. Apabila ia tertekan, secara semulajadinya ia akan bergegar.


Oh Tuhan, ampunilah segala dosaku...

0 comments:

Sebarang komen amatlah dihargai.