"Makcik terkejut dengan apa yang Lokman buat" - Ibu Lokman Karim

Kisah Lokman Karim yang menjadi korban kejadian Gempa Bumi di Gunung Kinabalu seminggu lalu viral di internet dan aku sendiri berpeluang untuk melawat ibunya di Kampung Chin Chin, Melaka bersama salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Teach For The Needs (TFTN).

Shafizan Johari dan ibu Lokman sedang berbual
Sebagaimana semua orang maklum, Lokman Karim merupakan pelajar tahun empat di Institut Pendidikan Guru Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Beliau yang aktif dalam kerja kesukarelawanan di bawah payung TFTN dan beberapa gerakan sukarelawan persendirian lain banyak membantu anak miskin mahupun anak yatim untuk mendapat pendidikan berkualiti di samping menaikkan semangat kumpulan ini untuk belajar.

Ketika bertemu dengan ibunya yang juga seorang guru, suasana hiba dirasai saat bertentang mata dengan ibu Lokman.

Shafizan Johari, Ahli Lembaga Pengarah TFTN berborak sambil masing-masing bercerita pengalaman mereka bersama Lokman Karim.

Bagi Shafizan, Lokman merupakan seorang sukarelawan yang tak banyak bercakap, tetapi dia begitu disayangi anak muridnya.

Tambah Shafizan, anak-anak yatim yang menjadi pelajarnya sentiasa mahu dekat dengan Lokman setiap kali bertemu untuk sesi pembelajaran.

Tidak kurang dengan itu, Lokman sangat aktif dalam program membantu gelandangan di ibu kota Kuala Lumpur, program pembangunan kelas bimbingan murid yang menghadapi masalah pembelajaran dan banyak lagi.

Bagi ibu Lokman pula, dia tidak menyangka bahawa anaknya seorang yang sangat aktif dengan kerja-kerja membantu anak yatim. Menurut beliau, anaknya kerap memberitahu dia ada berprogram dengan TFTN, tetapi jarang untuk memperincikan perihal program terbabit.

Selepas berjumpa dengan beberapa rakan seperjuangan Lokman dalam TFTN, barulah ibunya tahu bahawa Lokman bukanlah seperti yang beliau kenali.

Dalam nada sebak, ibu Lokman memberitahu "saya tak sangka anak saya punya pemikiran setinggi ini untuk membantu anak yatim mahupun orang susah.

"Raya Aidilfitri tahun lepas, dia (Lokman) ada minta izin dengan saya untuk beraya dengan gelandangan. Saya kata, ibu redha segala perjuangan Lokman" kata ibu Lokman dalam nada sayu.

Pertemuan kami dengan ibu Lokman kira-kira sejam itu cukup menunjukkan bahawa ibunya masih mahu gali, apa jenis kebaikan yang dibuat anaknya.

Sebelum kami pulang, ibunya berpesan, "doakan yang terbaik untuk anak saya".

Sepanjang kami berjalan ke kereta, ibunya mengiringi kami sambil melambai lemah. Mungkin masih rindu akan anaknya.

Bagi aku, Lokman boleh dianggap manusia yang mampu memberi inspirasi buat sukarelawan di seluruh dunia. Tak perlu bising-bising, yang penting bantuan dan kerja berjalan dengan cemerlang.


Belasungkawa Loqman Karim (1993-2015)Loqman Karim merupakan Project Manager bagi Expansion Project TFTN di SK Bangsar...
Posted by Teach For The Needs on Sunday, June 7, 2015

1 comment:

  1. dia anak yang baik Hilal..anak yang soleh.. tempat yang baik2lah baginya...

    ReplyDelete

Sebarang komen amatlah dihargai.