Eksplorasi emosi bersama #KotaKelipKelip

Projek Teater TFTN yang tamat ahad lalu banyak memberi kesan emosi kepada pihak kru penerbitan dan juga penonton yang datang menonton persembahan naskah karya Amar Amir.

Teater Kota Kelip-Kelip TFTN


Bagi aku, keinginan untuk melihat bakat muda yang masih segar dan suci membuat eksplorasi emosi melalui lakonan teater menambah keterujaan untuk aku hadirkan diri dalam persembahan yang julung-julung kali diadakan di Damansara Performing Arts Centre.

Kalau yang mungkin tak tahu, Teach For The Needs (TFTN) telah banyak meneroka potensi yang ada pada anak-anak yatim dan juga anak orang miskin yang ada di seluruh pelusuk Malaysia.

Mereka percaya, setiap daripada anak muda ini mempunyai potensi cuma peluang tidak ditunjukkan kepada mereka. Oleh yang demikian, sukarelawan yang terdiri daripada guru muda dan golongan profesional muda ini telah menjadikan TFTN sebagai platform yang terbaik ke arah mewujudkan masyarakat yang tinggi ilmunya malah kuat dengan jatidiri kebangsaan.

Teater Kota Kelip-Kelip TFTN


Berbalik kepada Teater Kota Kelip-Kelip, kali pertama melihat penampilan 10 anak muda yang berlakon tak ubah seperti menonton cerita kanak-kanak di televisyen.

Sedikit sinopsis Teater Kota Kelip-Kelip, mengisahkan 2 orang pemuda yang bercerita mengenai kisah silam ketika mereka dibesarkan di salah sebuah rumah anak yatim yang dikenali sebagai Sekolah Seri Muda. Di tempat itu, mereka dibayangi akan sentiasa muda malah akan senantiasa hidup dalam zaman kanak-kanak yang penuh warna warni dan permainan. Azam menjadi insan ke 10 yang masuk ke sekolah ini telah membuka minda anak-anak yatim dalam sekolah terbabit untuk keluar dan menjadi lebih matang. Malah, konflik berlaku apabila Apai yang menjadi ketua di sekolah terbabit menolak sekeras-kerasnya percubaan mereka untuk keluar daripada zaman kanak-kanak menjadi lebih dewasa.

Teater Kota Kelip-Kelip TFTN


Ketika plot teater ini mula memuncak dengan konflik yang ditimbulkan menerusi watak Azam yang hadir ke Sekolah Seri Muda, aku mula sedar bahawa mereka ini sebenarnya sedang berlakon. Padahal aku terlupa akan latar belakang mereka yang sebenarnya datang dari beberapa rumah anak yatim di sekitar Klang, dan juga Batu Pahat.

Watak-watak kecil seperti Yanti, Tiara, Saufi, Ucop, Husna, Yeob dan Melur sentiasa menceriakan penonton dek telatah lucu mereka.

Biarpun ada antara anak-anak ini baru berusia 10 tahun, keupayaan menghafal dan menghayati skrip paling aku kagumi. (sebabnya, ketika latihan lakonan profesional yang aku ikuti sebelum ni, bab menghafal skrip adalah perkara yang paling aku gagal lakukan, apatah lagi menghayatinya)

Teater Kota Kelip-Kelip TFTN


Kisah ini berakhir tatkala emosi memuncak dek pergeseran yang berlaku ketika keputusan untuk keluar daripada Seri Muda dibuat Azam dan diikuti 8 rakan yang lain.

Waktu ni, aku sangat tersentuh dengan lakonan Zubair yang memegang watak Azam dan juga lakonan Asyiq yang memegang watak Apai.

Seusai selesai sahaja persembahan, aku sedar bahawa rasa puas datang meresap dalam diri sehingga bulu roma mencanak. Melihat wajah anak-anak ini, ternyata mereka puas dengan persembahan dan sokongan yang diberikan mereka.

Skrip Teater Kota Kelip-Kelip?
Skripnya bersahaja tetapi sarat dengan nilai kehidupan.

Nak relate dengan diri sendiri yang tak pernah punya cita-cita satu masa dulu, pon menyebabkan aku kagum dengan usaha yang digerakkan melalui teater ini.

Malah, punchline untuk aksi jenaka melalui lakonan dalam lakonan anak-anak ini pon cukup menggelakkan semua orang.

Pengarahan Teater Kota Kelip-Kelip bagi aku ianya amat mencabar memandangkan kesemua 10 anak-anak muda ini tiada pengalaman dalam hal lakonan terutamanya lakonan teater.

Memang wujud lari tempo daripada segi nyanyian, tetapi sebagai pementasan serta lakonan pertama, ia tidak menjejaskan prestasi keseluruhan.

Yang pasti, pengurusan pentas serta prop digerakkan dengan baik mungkin datang dari rehearsal yang kerap dan berkesan bersama pelakon-pelakon teater ini. Syabas Fazleena & Team.

Secara keseluruhannya, aku amat berbangga dengan usaha murni ini.

Bukan membeli tiket kerana KESIAN, tetapi aku mahu sesuatu yang baru. Bagi aku eksplorasi emosi melalui kanak-kanak, ini pula daripada kalangan insan yang kurang bernasib baik memang amatku nantikan sejak sekian lama.

Moga usaha ini tidak dicemari dengan ketamakan kapitalis lantas menghancurkan roh perjuangan seni serta eksplorasi bakat oleh TFTN.

Teater Kota Kelip-Kelip TFTN
Abang nak merasa dok kat set Seri Muda.. :)


***Risau jugak memikirkan sesi move on pasca produksi... Mesti dalam kesan emosinya... huhu.

0 comments:

Sebarang komen amatlah dihargai.