Perwira yang tak didendang

20140410-034032.jpg


Bukan senang untuk mendapatkan kepercayaan orang terutamanya dalam situasi kecemasan.

Begitu juga kepercayaan orang ramai (terutamanya dalam situasi politik yang kurang stabil) meletakkan kepercayaan kepada pihak yang ada kredibiliti dalam menyampaikan berita.

Sungguhpun begitu, usaha membantu seramai mungkin manusia menjadi tanggungjawab semua orang kerana kehidupan manusia hanya akan lengkap dengan KERJASAMA.

Kalau kita ada info, kita kongsi.
Kalau kita tahu alternatif usaha yang boleh mendatangkan hasil, kita kongsi.
Lakukannya dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Bagi isu kehilangan pesawat MH370 yang masih misteri sehingga hari ini, macam-macam berita, post dan juga perkongsian dilambakkan ke pemikiran kita. Aku sendiri secara peribadi kadang-kadang bingung dengan misteri yang terus menimbulkan 1001 soalan yang tak semuanya mampu dijawab.

Terbaru mengenai usaha mencari pesawat penerbangan Malaysia MH370 ni ialah pihak SAR (search and rescue) telah mengesan isyarat ping yang dipercayai dari kotak hitam pesawat terbabit. 2 isyarat ping itu konsisten dengan frekuensi yang diteliti sebelum ini yang memungkinkan usaha mencari pesawat MH370 itu positif.

Itu yang terbaru sehingga post ini dikemaskini.

Tapi, yang ingin aku ketengahkan ialah "pejuang" atau petugas usaha mencari dan menyelamat ini yang terdiri daripada askar tentera laut dari pelbagai negara. Mereka kini sedang berusaha keras menempuh lautan biru dengan cuaca yang tidak menentu untuk usaha mengesan lokasi yang dipercayai pesawat terbabit berakhir.

Mereka juga punya keluarga. Aku yakin sejak misi SAR dimulakan sejak 8 Mac 2014 lalu, tenaga mereka sudah mula dikerah. Bayangkan, hingga ada antara ahli keluarga petugas ini yang juga tidak tahu khabar berita petugas terbabit sejak hari kehilangan pesawat itu dilaporkan.

Memang itu tuntutan kerja. Memang itu amanah mereka. Bagi aku, mereka juga hero dalam usaha ini.

Seperti yang aku katakan tadi, manusia hanya akan LENGKAP hidupnya dengan wujud KERJASAMA.

Moga semua usaha ini dipermudah di samping doa yang berterusan buat kesemua 239 penumpang serta kru pesawat penerbangan MH370.

Insyaallah

1 comment:

  1. petugas yang bertugas wajar dihargai.
    mereka menjalankan tugas sebaik mungkin.

    moga segalanya dipermudahkan. ameen.

    ReplyDelete

Sebarang komen amatlah dihargai.